Advertisements
Hoki 5s Piala Dunia: Malaysia Ke Separuh Akhir, Leburkan Tentangan Trinidad & Tobago
UltraSukan
UltraSukan
FIH

Skuad hoki 5s Malaysia mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Hoki 5s Piala Dunia 2024 hari ini.

Ini selepas pasukan yang dibimbing Wallace Tan itu mengatasi cabaran wakil Carribean, Trinidad & Tobago di pentas suku akhir.

Pasukan hoki 5s Trinidad & Tobago yang dibimbing Darren Cowie membuktikan mereka satu pasukan yang patut dihormati dalam kejohanan selepas merekodkan 23 gol dalam tiga perlawanan Kumpulan C.

Skuad negara juga tidak kurang hebatnya dengan meledakkan 14 gol dalam tiga perlawanan Kumpulan D.

Separuh masa pertama menyaksikan Trinidad & Tobago mendahului The Speedy Tigers menerusi Akim Toussaint pada minit keenam.

Bagaimanapun, skuad negara kembali menyamakan kedudukan menerusi Akhimullah Anuar Esook pada minit kesembilan. Belum sempat Malaysia kembali bernafas, Trinidad & Tobago kembali di hadapan menerusi Mickel Pierre seminit selepas itu.

Skuad negara memastikan jurang jaringan terikat 2-2 menerusi Luqman Ahmad Shukran pada minit ke-12.

Trinidad & Tobago memastikan mereka mendahului 3-2 sehingga rehat menerusi Tariq Marcano pada minit ke-14.

Separuh masa kedua menyaksikan permainan lebih rancak membabitkan kedua-dua pasukan. Abid Sufian Mat Ruslee memastikan kedudukan terikat 3-3 dengan gol padang pada minit ke-17.

Anak buah Wallace semakin garang dengan mendahului menerusi Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-22. Ini disusuli gol Syarman Mat Tee pada minit ke-25.

Trinidad & Tobago merapatkan jurang menerusi Teague Marcano pada minit ke-30 tetapi itu sudah terlewat untuk menghalang kemaraan Malaysia.

Keputusan 5-4 kekal sehingga tamat perlawanan. Kejayaan ini memastikan Malaysia bertemu Poland di pentas separuh akhir yang berlangsung pada malam ini.