Malaysia terlepas peluang untuk muncul juara Hoki 5s Piala Dunia apabila tumbang kepada gergasi Eropah, Belanda.
Skuad negara yang mengatasi Poland semalam dalam aksi separuh akhir dikejutkan dengan jaringan pertama Belanda menerusi Yannick Van Der Drift seawal minit pertama.
Seakan tersentak, Malaysia terus membalas dengan jaringan penyamaan melalui gol padang Akhimullah Anuar seminit selepas itu untuk mengikat kedudukan 1-1.
Belanda kembali memimpin permainan selepas pukulan deras Pepjin Reyenga terus menerjah gawang Malaysia yang dikawal oleh Shahrul Saupi pada minit keenam perlawanan.
Dua minit sebelum rehat, Yannick Van Der Drift sekali lagi mengukir nama sebagai penjaring dengan jaringan ketiga buat Belanda untuk menjadikan kedudukan 3-1 memihak Belanda sehingga rehat.
Kembali dari rehat, Malaysia terus garang dengan meledak gol kedua menerusi jaringan padang Muhammad Omar pada minit ke-16 untuk menghidupkan peluang skuad negara.
Belanda yang dibimbing Gerold Hoeben berjaya menggandakan jaringan menerusi gol Sander De Wijn pada minit ke-26 sebelum Jamie Van Aart menjadikan kedudukan 5-2.
Keputusan Belanda 5-2 Malaysia kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan kemenangan ini menyaksikan Belanda muncul juara edisi sulung Hoki 5s Piala Dunia 2024 manakala skuad negara pulang membawa gelaran naib juara.