Skuad hoki wanita Malaysia mengakhiri aksi kumpulan B hoki kelayakan Olimpik 2024 dengan kekalahan besar di tangan Great Britain.
Skuad negara yang kini menduduki tangga terakhir kumpulan setelah tewas dalam dua aksi sebelum ini berjaya mempertahankan gawang dari dibolosi di suku pertama.
Great Britain memulakan pesta jaringan apabila meledak dua gol pantas dalam masa dua minit menerusi pukulan sudut penalti Hannah French pada minit ke-17 dan jaringan padang Isabelle Petter pada minit ke-19.
Lima minit kemudian Tessa Howard menambah luka buat skuad bimbingan Nasihin Nubli dengan jaringan ketiga sebelum Giselle Ansley menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-27.
Belum sempat skuad negara bernafas, Sarah Jones dan Tessa Howard sekali lagi meletakkan pasukan mereka selesa mendahului 6-0 sehingga rehat.
Pukulan sudut penalti Giselle Ansley jelas memberi mimpi buruk buat skuad negara apabila beliau meledak gol ketujuh yang juga gol kedua peribadi beliau.
Gol saguhati skuad negara berjaya dijaringkan oleh Nur Afiqah Azhar pada minit ke 56 dan jaringan terakhir Great Britain dijaringkan Hannah French seminit sebelum permainan tamat.
Keputusan akhir, Great Britain 8-1 Malaysia.
Kekalahan ini menyaksikan The Speedy Tigers mengakhiri perjuangan hebat ke Sukan Olimpik Paris 2024 di tangga ke-4 kumpulan tanpa sebarang kemenangan.
Hanya dua pasukan teratas kumpulan sahaja akan layak ke peringkat separuh akhir dan tiga pasukan terbaik dalam siri kelayakan ini akan layak ke temasya berprestij itu.