Malaysia mencatatkan kekalahan kedua dalam aksi kumpulan B hoki kelayakan Olimpik 2024 selepas kecundang di tangan Kanada.
Kanada bermula baik di awal suku pertama dengan berjaya menembusi gawang gol Malaysia menerusi pukulan sudut penalti Sara McManus seawal minit ketiga.
Bersambung suku kedua, Kanada terus mendominasi permainan dan hasilnya jaringan kedua berjaya diperoleh hasil jaringan padang Thora Rae pada minit ke-22.
Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan Kanada 2-0 Malaysia.
Suku ketiga menyaksikan skuad bimbingan Nasihin Nubli terus dirudum malang apabila Kanada cemerlang menyumbat gol ketiga sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti Sara McManus pada minit ke 45.
Tiada jaringan dapat dihasilkan selepas itu sekaligus menamatkan permainan dengan keputusan Kanada 3-0 Malaysia.
Dengan keputusan ini menyaksikan peluang skuad negara untuk menjadi antara dua pasukan teratas kumpulan telah terkubur sekaligus melenyapkan hasrat untuk layak ke peringkat seterusnya.
Impian The Malayan Tigresses untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 juga terpaksa dilupakan berikutan kekalahan kali kedua ini.
Malaysia bakal melengkapkan aksi terakhir kumpulan berdepan Great Britain pada Selasa, 16 Januari 2024.