Skuad hoki senior Malaysia menamatkan kempen pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di tempat kelima hari ini.
Ini selepas pasukan yang dibimbing Arul Selvaraj itu berjaya mengatasi Kanada dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam pusingan kelayakan hari ini.
Dari segi rekod pertemuan, Malaysia menang 13 kali ke atas Kanada daripada 20 pertemuan sebelumnya. Ini termasuk kejayaan mengatasi mereka dalam Piala Negara-Negara FIH 2022 di Afrika Selatan.
Suku pertama menyaksikan The Speedy Tigers memberi tekanan kepada The Red Caribou.
Malaysia mendapat tiga pukulan penalti pada minit keenam, kesembilan dan ke-10 tetapi kesemua percubaan dinafikan barisan pertahanan Kanada diketuai penjaga gol Zachary Coombs.
Skuad negara terus memberi tekanan kepada Kanada dalam suku kedua perlawanan. Peluang terbaik The Speedy Tigers hadir menerusi Fitri Saari tetapi percubaan beliau gagal menepati sasaran.
Ketumpulan penyudah kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Malaysia terus memberi tekanan kepada The Red Caribou bagi mendapatkan gol pendahuluan.
Malangnya, barisan pertahanan Kanada terus kental menyerap tekanan barisan serangan The Speedy Tigers sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini memaksa perlawanan diheret ke penentuan penalti.
Penjaga gol negara, Hafizuddin Othman muncul wira dengan menafikan dua percubaan penalti Kanada. Azrai Aizad Abu Kamal memastikan tempat kelima milik Malaysia dengan gol kemenangan pada percubaan penalti yang ketiga.