Advertisement
Hoki Kelayakan Olimpik: Malaysia Gagal Lunas Dendam, Tumpas Kepada China
UltraSukan
UltraSukan
MHC

Malaysia gagal membalas dendam di Sukan Asia yang lalu setelah tewas di minit akhir kepada China dalam aksi Kumpulan A hoki kelayakan Olimpik 2024.

Di Sukan Asia yang lalu, China menidakkan hasrat Malaysia untuk layak ke peringkat separuh akhir setelah terikat seri 4-4 sekaligus menguburkan impian skuad negara layak ke Olimpik melalui slot juara Sukan Asia.

Suku pertama menyaksikan tiada jaringan dapat dihasilkan meskipun kedua-dua pasukan memperoleh peluang menerusi pukulan sudut penalti.

Jaringan yang dicari akhirnya tiba jua di suku kedua menerusi jaringan padang Azrai Abu Kamal pada minit ke-29 untuk meletakkan skuad negara di depan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, China terus mengganas dengan dua jaringan dalam masa 4 minit menerusi penalti stroke Lin Changliang pada minit 31 dan Chao Jieming pada minit 34.

Anak-anak buah Arul Selvaraj lantas bangkit mencari jaringan penyamaan dan usaha itu berhasil menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-47.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, China mengecewakan skuad negara dengan jaringan minit akhir oleh Gao Jiesheng.

Tamat permainan, Malaysia 2-3 China.

Selepas ini, The Speedy Tigers akan turun dalam aksi hidup mati menentang Great Britain pada awal pagi Rabu, 17 Januari jam 12.45 tengah malam waktu tempatan.