Malaysia membuka kempen kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 Kumpulan B dengan kemenangan apabila menewaskan Austria di Stadium Hoki Pihak Berkuasa Terusan Suez, Ismailia, Mesir.
Kejohanan ini dilihat kunci buat anak buah Sarjit Singh untuk layak ke Piala Dunia Hoki 2026.
Atas sebab itu, Sarjit menurunkan barisan terkuat bila turun menentang Austria. Ini termasuk menurunkan Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal sebagai sandaran gol.
Malaysia dikejutkan dengan gol awal Austria pada minit ketiga. Fulop Losonci tenang menyempurnakan penalti stroke yang menewaskan penjaga gol, Hafizuddin Othman.
The Speedy Tigers kemudiannya bangkit dan menyumbat dua gol pada suku kedua perlawanan. Azrai menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi gol padang.
Seminit selepas itu, giliran Shello Silverius mencetak nama sebagai penjaring. Beliau tenang menewaskan penjaga gol Austria, Christoph Sandbichler.
Dua gol tersebut memastikan Malaysia mendahului 2-1 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, jentera serangan Malaysia terus memberi tekanan ke atas Austria yang menduduki ranking ke-21 dunia.
Norsyafiq Sumantri menyempurnakan pukulan penalti bagi memastikan Malaysia mendahului 3-1 pada minit ke-34.
Azrai Aizad terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Austria. Beliau meledakkan gol keempat The Speedy Tigers pada minit ke-44.
Akhimullah Anuar Esook memastikan Malaysia makin selesa mendahului 5-1 menerusi gol pada minit ke-51.
Kapten pasukan, Marhan Abd Jalil memastikan kemenangan bergaya anak buah Sarjit dengan gol pada minit ke-57. Keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Malaysia selesa menerajui Kumpulan B dengan tiga mata. Kedudukan ini dijangka berubah apabila Pakistan dan China turun beraksi dalam satu lagi aksi Kumpulan B.
Selepas ini, Malaysia akan turun menentang Pakistan pada 2 Mac ini.