Malaysia terpaksa mengakui kehebatan juara bertahan, Argentina apabila tumpas dalam aksi kedua Kumpulan A Hoki Piala Dunia Remaja 2023.
Permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan di suku pertama dengan Argentina yang dilihat bergelut untuk memecahkan benteng pertahanan negara sehingga tiada jaringan dapat dihasilkan.
Bersambung suku kedua, Malaysia memulakan serangan agresif menerusi Alfarico Liau yang melakukan percubaan tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Argentina, Joaquin Ruiz.
Argentina berjaya memecah kebuntuan jaringan di minit ke-20 apabila percubaan Bautista Capurro gagal ditampan kemas penjaga gol Malaysia, Muhammad Rafaizul menjadikan kedudukan 1-0.
Kelekaan para pemain Malaysia sekali lagi dihukum apabila Argentina berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Marco Aguirregomezcorta di minit ke-28 yang mudah meyambut hantaran silang dari rakan sepasukannya.
Tamat separuh masa pertama, Malaysia ketinggalan 0-2 kepada Argentina
Separuh masa kedua bermula, permainan memberangsangkan mula ditunjukkan pasukan negara dengan beberapa siri gerakan menarik namun belum cukup untuk menembusi kubu Argentina.
Argentina yang kerap bertahan di suku ketiga berjaya menjaringkan gol ketiga perlawanan apabila kapten pasukan, Inaki Minadeo menyudahkan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan selesa buat juara bertahan itu.
Argentina tidak berhenti mengasak dan berjaya memperoleh gol keempat menerusi Juan Fernandez yang tidak dikawal mudah menolak bola ke gawang Malaysia tiga minit selepas suku keempat bersambung.
Skuad hoki remaja negara seakan hilang idea untuk sekurang-kurangnya mencari jaringan saguhati dengan Argentina mempamerkan kualiti bertahan yang terbaik sesuai dengan reputasi mereka sebagai penyandang juara.
Keputusan Malaysia 0-4 Argentina kekal sehingga tamat masa permainan.
Dengan keputusan tersebut, anak-anak buah Amin Rahim perlu mencatatkan kemenangan ke atas Australia pada Jumaat sekiranya mahu melangkah ke pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan.
Aksi terakhir kumpulan A menyaksikan Malaysia akan menghadapi perlawanan penting berdepan Australia manakala Argentina yang sudah mengutip enam mata akan bertemu Chile pada Jumaat.