Advertisement
Hoki Piala Dunia Remaja:  Perancis Atasi Sepanyol Untuk Raih Tiket Ke Final
UltraSukan
UltraSukan
FIH

Perancis mengiringi Jerman ke pentas akhir setelah mengenepikan cabaran Sepanyol dalam aksi separuh akhir Hoki Piala Dunia Remaja 2023.

Perancis tidak menunggu lama untuk mempimpin perlawanan menerusi Brieuc Delemazure yang menyudahkan pukulan sudut penalti seawal minit kedua.

Sebelum berakhir suku pertama permainan, pemain tengah Sepanyol, Aleix Bozal menyamakan kedudukan apabila pukulan sudut penaltinya terus menerjah gol Perancis.

Suku kedua menyaksikan tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan kedua-dua pasukan menjadikan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Tiga minit memasuki separuh masa kedua, Perancis tampil garang untuk mendahului sekali lagi menerusi jaringan padang Stanislas Branicki.

Perancis terus menghukum pertahanan Sepanyol apabila giliran pemain tengah, Louis Haertelmeyer menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke 42 untuk mengukuhkan kedudukan pasukan Perancis.

Sepanyol cuba bangkit pada suku terakhir permainan namun Perancis terlalu unggul untuk mematahkan setiap serangan pasukan Sepanyol.

Tamat permainan, Perancis meraih tiket ke final selepas menundukkan Sepanyol dengan keputusan 3-1.

Pada perlawanan akhir nanti, Perancis akan bertarung menentang pasukan Jerman untuk merebut kejuaraan Hoki Piala Dunia Remaja 2023.