Advertisement
Hoki Piala Dunia Remaja: Sepanyol Unggul Raih Tempat Ketiga Atasi India
UltraSukan
UltraSukan
FIH

Sepanyol mengakhiri kempen Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di tempat ketiga setelah menumbangkan jaguh Asia, India dalam penentuan tempat ketiga dan tempat keempat.

Kedua-dua pasukan yang kali terakhir bertemu di peringkat kumpulan minggu lalu menyaksikan Sepanyol membelasah India dengan jaringan 4-1 dan India semestinya mahu membalas dendam di atas kekalahan tersebut.

Permainan seimbang dengan aksi berbalas serangan dipamerkan kedua-dua pasukan namun suku pertama berakhir tanpa jaringan.

Suku kedua menyaksikan Sepanyol beraksi lebih agresif dan hasilnya pukulan kilas yang dilakukan Nicolas Alvarez berjaya menewaskan penjaga gol India pada minit ke-25.

India lantas bangkit menerusi jaringan Sunil Jojo hasil bola muntah daripada pukulan sudut penalti tiga minit kemudian untuk mengakhiri separuh masa pertama dengan keputusan 1-1.

Kembali dari rehat, anak-anak buah Puig Torras seakan kembali menemui formula untuk menembusi benteng India dan berjaya menjaringkan gol kedua Sepanyol menerusi gol padang Pau Petchame pada minit ke-40.

Suku terakhir menyaksikan India memaksimumkan serangan untuk mencari jaringan penyamaan namun Sepanyol yang berjaya menjarakkan kedudukan apabila Nicolas Alvarez bijak menyambar pukulan rakan sepasukan pada minit ke-51.

India tidak mengalah dan terus mengatur serangan untuk mengheret perlawanan ke penalty shootout namun benteng pertahanan Sepanyol terlalu kebal untuk ditembusi.

Keputusan kekal hingga siren panjang dibunyikan menyaksikan Sepanyol menundukkan India dengan jaringan 3-1.

Sepanyol berjaya mengecewakan India untuk meraih kedudukan ketiga dalam kempen Hoki Piala Dunia Remaja 2023 dan kejayaan ini mengulangi pencapaian terbaik mereka di kejohanan ini iaitu meraih tempat ketiga pada edisi 2005.