Pasukan hoki Kuala Lumpur (KL) muncul juara Piala Razak 2023 selepas mengatasi cabaran Melaka dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil 2 hari ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi mengakhiri kemarau kejuaraan masing-masing. Kali terakhir Melaka dan KL bergelar juara Piala Razak masing-masing pada 2019 dan 2011.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mendapatkan gol awal. Amirullah Zainol meletakkan Melaka di depan menerusi jaringan pada minit ke-13.
Bagaimanapun, sebelum kedua-dua pasukan menuju rehat, KL menyamakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi Zulpidaus Mizun.
Bersambung pada babak kedua, Melaka sekali lagi di hadapan menerusi pukulan penalti Amirullah pada minit ke-33.
KL terus mengasak dan berhasil mendapat gol penyamaan buat kali kedua menerusi V. Sriram pada minit ke-47.
Kedua-dua pasukan terus mengasak memburu gol kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ini memaksa perlawanan diheret ke penentuan pukulan penalti bagi menentukan pemenang Piala Razak 2023.
KL muncul juara selepas berjaya menyempurnakan semua empat pukulan penalti berbanding Melaka (dua). Ini sekaligus menamatkan penantian KL untuk bergelar juara Piala Razak sejak tahun 2011.