Kedatangan Johor Darul Ta’zim (JDT) wajar dihormati namun pemain Nam Dinh enggan mengabaikan kelebihan mereka di puncak kumpulan B Shopee Cup ketika ini.
Perkara tersebut diungkapkan oleh pertahanan tengah Nam Dinh, Lucas Alves yang tetap menghormati setiap pasukan lawan termasuklah JDT meskipun pernah bertemu beberapa pemain Harimau Selatan sebelum ini.
Menurut Lucas Alves, pengalaman berdepan pemain-pemain terbabit sedikit sebanyak membantu beliau untuk memahami corak permainan mereka menjelang pertemuan dengan JDT nanti.
”Kami menghormati kualiti pemain JDT. Saya sendiri pernah berdepan dengan beberapa pemain mereka dan memahami sedikit sebanyak corak permainan pasukan itu.”
“Ini pasti menjadi perlawanan besar, namun jangan dilupakan bahawa Nam Dinh kini berada di tangga teratas kumpulan B,” tegas Lucas Alves ketika sidang media pada Rabu.
Tambah beliau, sasaran utama Nam Dinh masih tetap sama iaitu untuk mencapai kemenangan apabila beraksi di laman sendiri dan mahu kekal fokus demi melaksanakan misi tersebut.
“Kami akan kekal fokus kepada sasaran utama iaitu meraih kemenangan.”
Aksi Nam Dinh vs JDT bakal berlangsung di Stadium Thienh Truong malam ini dengan sepak mula perlawanan tepat jam 8.30 malam.