Selangor FC mengesahkan kehadiran Hugo Boumous selaku pemain baharu jendela perpindahan kedua musim 2025/26, sekali gus memperkukuh jentera tengah pasukan bagi hadapi baki saingan domestik dan serantau.
Pemain berusia 31 tahun kelahiran Rennes, Perancis itu memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa, khususnya dalam Indian Super League (ISL). Nama Boumous mula mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik ISL musim 2019/2020 hasil sumbangan besar bersama FC Goa sebelum meneruskan kariernya bersama beberapa kelab ternama India seperti Mumbai City FC, Mohun Bagan SG dan Odisha FC.
Sepanjang beraksi di ISL, Boumous dikenali sebagai pemain tengah kreatif yang berperanan penting dalam membentuk corak serangan pasukan, selain terlibat secara langsung dalam pelbagai kejayaan domestik termasuk kejuaraan liga dan piala.
Menurut rekod profesional, Boumous telah mencatat lebih 200 penampilan di peringkat kelab dengan sumbangan jaringan dan bantuan gol yang konsisten, menjadikannya antara pemain tengah paling berpengalaman yang pernah beraksi di liga tersebut.
Keputusan Boumous menyertai Selangor FC didorong oleh ambisi kelab serta sokongan penyokong yang kuat, selain keinginannya untuk menjadi sebahagian daripada projek pasukan yang sedang dibangunkan.
Kehadiran Boumous dijangka memberi dimensi baharu kepada jentera tengah Selangor FC dalam saingan Liga Malaysiaserta kempen ACC Shopee Cup 2025/26, khususnya dari aspek kreativiti dan kawalan permainan.