Piala Malaysia: Selangor Kecewakan Kelantan TRW Saat Akhir
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor membenam pasukan Kelantan TRW dengan keputusan 1-2 dalam aksi pertama saingan Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Isnin.

Kelantan TRW menurunkan Damyan Damyanov di posisi penjaga gol dengan Azam Azih menggalas lilitan kapten manakala Syafik Ismail mengemudi jentera serangan pasukan.

Sementara itu, Selangor membariskan Kalamullah Al-Hafiz di benteng terakhir dengan Faisal Halim mengetuai kesebelasan utama manakala Chrigor Moraes sebagai ayam tambatan pasukan.

Kedua-dua pasukan bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan balas berbahaya ke arah gawang lawan masing-masing pada awal babak pertama aksi.

Kelantan TRW membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-25 menerusi pemain bernombor 2, Simen Lyngbo hasil bantuan jaringan cantik oleh Syafik Ismail sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.

Selepas itu, Selangor tampak meningkatkan serangan menerusi Faisal Halim dan Chrigor Moraes namun gagal menemui jaring Kelantan TRW sehingga penghujung separuh masa pertama.

Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kelantan TRW.

Bersambung babak kedua, Selangor tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan.

Selangor terus menerus mengasak kubu pasukan tuan rumah, Kelantan TRW dalam tempoh yang agak lama menerusi penyerang berbisa, Chrigor Moraes dan Faisal Halim.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan kembali pada minit ke-62 menerusi bintang sensasi The Red Giants, Faisal Halim hasil rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti pasukan Kelantan TRW sekali gus menewaskan penjaga gol, Damyan Damyanov.

Memasuki minit ke-80, kedudukan masih terikat dengan keputusan 1-1 buat kedua-dua pasukan.

Kelantan TRW hampir mendapatkan gol kedua aksi pada minit ke-83 menerusi Farris Izdiham namun gagal menepati sasaran gawang pasukan Selangor.

Faisal Halim meledak gol kedua aksi pada minit ke-92 sekali gus mematikan langkah pasukan tuan rumah, Kelantan TRW.

Aksi separuh masa kedua tamat dengan keputusan 1-2 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 23 Januari depan.