Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Azmi Muslim menganggap peluang mewakili Selangor FC selama tiga musim sebagai satu penghormatan.
Hal ini dinyatakan beliau semasa menjadi tetamu program Borak Borak Botak baru-baru ini.
Anak jati Pulau Pinang melihat pasukan gergasi Lembah Klang itu sebagai satu nama yang gah di Malaysia.
Pada masa sama, Azmi mengakui bukan mudah membawa nama Selangor. Ini kerana setiap pemain sedar dengan jangkaan ramai pihak termasuk penyokong untuk menjadikan pasukan itu berjaya.
“Selangor bagi saya, satu nama yang sangat besar. Bermain di Selangor bagi saya, satu pengiktirafan bermain dalam satu pasukan yang gah dan besar namanya seperti Selangor.
“Tapi tak mudah bermain di Selangor itu dengan tekanan dan (jangkaan) penyokong, sentiasa nak menang,” katanya.
Bekas pemain pertahanan Felda United itu juga percaya jurulatih baharu Selangor, Kim Pan-gon mampu memberi impak positif kepada pasukan itu.
“Bagi saya dengan kehadiran jurulatih baharu, saya rasa mungkin meniup semangat baharu untuk Selangor. Sekurang-kurangnya mampu memberi tentangan yang baik dan sengit dalam liga.
“Insya Allah, saya rasa dengan pemain yang ada, kita boleh dapat kedudukan dua teratas liga. Kita pun tahu reputasi Kim Pan-gon, saya harap Selangor dapat menang satu piala tahun ini,” ujarnya.
Azmi menjadi sebahagian daripada skuad Selangor yang meraih Piala Malaysia pada tahun 2015. Beliau turut membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan SEA 2009.