“Hukuman CAS Terhadap 7 Pemain Terlalu Keras” – Peguam Sukan
MakanBola
Malaysia NT

Seorang peguam sukan berpandangan hukuman penggantungan 12 bulan yang dikekalkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap tujuh pemain negara sebagai terlalu keras.

Hal ini dinyatakan Zhafri Aminurrashid apabila mengulas keputusan CAS terhadap rayuan yang difailkan tujuh pemain tersebut.

Zhafri melihat jika dibandingkan dengan beberapa kes yang dibawa ke CAS sebelumnya, hukuman yang dihadapi tujuh pemain tersebut cukup keras.

Salah satu kes yang dijadikan sebagai perbandingan ialah kes CAS 2016/A/4831. Kes ini menyaksikan beberapa pemain didapati menggunakan dokumen kelahiran atau kewarganegaraan yang tidak sah untuk mewakili negara tersebut.

FIFA menjatuhkan hukuman penggantungan sebanyak 10 perlawanan antarabangsa kepada pemain yang terlibat. Namun begitu, mereka tidak digantung daripada semua aktiviti bola sepak dan masih boleh beraksi bersama kelab masing-masing.

“FIFA mengambil kira peranan pegawai persekutuan yang dilihat mempunyai pengaruh besar dalam proses pendaftaran pemain, sekaligus mengurangkan tahap kesalahan yang diletakkan ke atas pemain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Zhafri turut menjadikan kes Javier Eduardo Portillo dan Pedro Miguel sebagai contoh perbandingan tambahan yang patut dilihat.

“Selepas melalui proses semakan serta rayuan dalam struktur perundangan FIFA dan hujahan yang berkaitan dengan CAS, tindakan yang diambil (kepada Portillo) lebih tertumpu kepada sekatan kelayakan mewakili negara berbanding hukuman penggantungan sukan jangka panjang.

“Kes ketiga melibatkan pemain Qatar, Pedro Miguel, isu kelayakan pemain tersebut turut dipersoalkan oleh beberapa persatuan bola sepak lain berhubung status dokumentasi dan kewarganegaraannya.

“Namun selepas melalui penelitian oleh FIFA dan proses berkaitan di CAS, tiada hukuman sukan dikenakan ke atas pemain tersebut dan isu kelayakan itu lebih dilihat sebagai perkara pentadbiran,” ujarnya.

Zhafri melihat kes-kes ini menunjukkan CAS mampu membezakan antara kesilapan pentadbiran dan unsur penipuan yang dilakukan secara sengaja oleh pemain.

Atas sebab itu, beliau merasa pelik mengapa hukuman penggantungan 12 bulan itu dikekalkan sedangkan FAM sudah mengakui kesilapan berlaku di pihak mereka.

“Sepanjang proses rayuan, FAM turut menegaskan bahawa badan induk tersebut telah menerima tanggungjawab berhubung kelemahan penyeliaan yang berlaku namun pelik di dalam kes kali ini, CAS tetap menjatuhkan hukuman berat terhadap pemain walaupun FAM telah mengakui bahawa kesilapan adalah pada pihak mereka.

“Menarik untuk kita kaji alasan penghakiman untuk kes ini kelak,” tambahnya.

Kesemua tujuh pemain kembali menjalani baki penggantungan bermula 5 Mac lalu. Meskipun digantung 12 bulan, mereka dibenarkan menjalankan aktiviti bola sepak lain termasuk berlatih.