Pemain tengah kebangsaan, Ibrahim Manusi menjadi pemain terbaru menyertai Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Bekas pemain Sri Pahang FC itu menyertai The City Boys secara pinjaman selama semusim dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Perpindahan itu diumumkan pengurusan KL City dalam satu kenyataan ringkas.
“Ibrahim Manusi menyertai KL City FC secara pinjaman dari JDT untuk musim 2026/2027,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ibrahim antara lapan pemain baharu yang dibawa masuk KL City untuk kempen musim ini. Selain beliau, bekas juara Piala Malaysia 2021 itu turut merekrut Syafiq Ahmad, Hazwan Bakri, S. Kumaahran dan Gary Steven Robbat.
KL City turut merekrut dua bekas pemain Terengganu FC, Baqiuddin Shamsudin dan Saiful Jamaluddin serta pemain sayap Jerman, Reagy Ofosu. Ibrahim dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama pasukan itu.
Isu tersebut tidak timbul kerana ramai bekas rakan sepasukan beliau di Sri Pahang kini mewakili KL City. Selain Baqiuddin dan Saiful, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq juga beraksi untuk The City Boys sejak musim lalu.
Jurulatih baharu KL City, Datuk Dollah Salleh juga tidak asing dengan Ibrahim. Ini kerana beliau pernah memikul tugas sebagai jurulatih dan pengurus pasukan Sri Pahang.
Selain mereka, ramai pemain Harimau Malaya yang bersama Ibrahim dalam kempen ASEAN Hyundai Cup juga mewakili KL City. Antaranya kapten, Paulo Josue, Fazrul Amir Md Zaman dan Syafiq.