Impian Aksi ‘Sengit’ Vietnam vs Malaysia Tak Kesampaian
MakanBola
Malaysia NT

Impian melihat pertembungan skuad terbaik antara Vietnam vs Malaysia tidak kesampaian.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu pada aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh.

Malaysia yang sebelum ini menang dengan keputusan 4-0 telah pun dibatalkan kemenangan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan menurunkan pemain yang tidak sah.

Harimau Malaya menerima impak besar tanpa kudrat tujuh pemain yang menjalani penggantungan selain kecederaan memberi kesan besar kepada skuad Peter Cklamovski.

Senarai 28 pemain oleh jurulatih kelahiran Australia itu menyaksikan ketiadaan beberapa pemain utama seperti Arif Aiman yang masih dibelenggu kecederaan.

Bukan itu sahaja, hasrat peminat untuk melihat kelibat dua pemain naturalisasi baharu iaitu Bergson Da Silva dan Giancarlo Gallifuoco juga masih tidak tertunai.

Skuad kebangsaan bagaimanapun kekal dibarisi muka-muka utama termasuklah empat pemain dari luar negara yang menambah kekuatan pasukan.

Sementara itu, Vietnam kendalian Kim Sang-sik menyenaraikan 23 pemain dengan kesemua pemain beraksi dalam liga utama Vietnam 2025-26.

Pasukan Bintang Pahlawan Emas juga kembali diperkuat dengan kehadiran penyerang naturalisasi, Nguyen Xuan Son selepas bebas daripada kecederaan sejak awal tahun ini.   

Aksi antara Vietnam dan Malaysia dijadual pada 31 Mac 2026 jam 8.00 malam (waktu Malaysia).