Advertisement
Import Sri Pahang Tarik Perhatian Media Australia
Liga Super
MakanBola
Sri Pahang

Aksi cemerlang pertahanan Sri Pahang, Michael Glassock telah mendapat perhatian media bebas dari Australia, iaitu Front Page Football.

Bekas pemain Sydney Olympic ini melengkapkan perpindahan ke Sri Pahang pada awal musim tahun ini dan beraksi dengan baik bersama Skuad Tok Gajah.

Beliau telah diberi kepercayaan oleh pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad untuk turun dalam 12 aksi daripada 16 perlawanan dalam kesebelasan utama pasukan. Awang import berusia 23 tahun ini turut menjadi nadi kepada kemenjadian pasukan apabila berjaya membantu Sri Pahang mencatat enam perlawanan tanpa bolos.

Jika dilihat berdasarkan statistik terkini, Michael Glassock menjadi pemain kelima di Sri Pahang yang mengumpul minit permainan paling banyak dalam kempen Liga Super 2023.

Pertahanan kental ini telah mengumpul lebih dari 1163 minit dan menyumbang kepada sepuluh kemenangan yang dicatat pasukan Sri Pahang musim ini.

Kudrat Michael semestinya akan terus ditagih Fandi Ahmad dalam misi mereka untuk memintas kedudukan kedua dalam liga. Selepas mengharungi 16 perlawanan, Sri Pahang hanya tewas dalam dua aksi dan empat kali meraih seri.

Pasukan dari Pantai Timur ini bakal meneruskan aksi menentang pasukan Sabah di Stadium Likas pada Sabtu, 15 Julai 2023. Sri Pahang kini dalam misi memburu kemenangan ke-11 sementara Sabah memburu kemenangan kesepuluh untuk masing-masing naik satu anak tangga dalam carta Liga Super 2023.