Advertisements
India Open: Lee Zii Jia Mudah Lepasi Pusingan Ke-32
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua India Open 2024.

Selepas kecewa tersingkir di pusingan pertama Malaysia Open 2024, anak jati Alor Setar, Kedah itu bangkit dengan menewaskan Brian Yang dalam pusingan pertama India Open.

Di atas kertas, kelebihan tampak memihak kepada Zii Jia. Ini kerana pemain perseorangan nombor 10 dunia itu berjaya mengatasi jaguh perseorangan Kanada itu sebanyak empat kali dalam empat pertemuan mereka.

Set pertama menyaksikan kedua-dua pemain bersaing sengit mendapatkan mata. Yang kemudiannya mendahului pada kedudukan 15-13.

Zii Jia terus memberi cabaran dan mengikat pemain perseorangan ke-24 dunia itu pada kedudukan 17-17. Juara Arctic Open 2023 itu memastikan kemenangan set pertama dengan keputusan 21-17.

Set kedua menyaksikan Zii Jia pada satu ketika mendahului pada kedudukan 14-11. Yang kemudiannya bangkit sebelum mengikat kedudukan 15-15.

Bagaimanapun, Zii Jia kembali unggul sebelum memenangi set kedua dengan keputusan 21-19. Jaguh nombor 10 dunia itu mengungguli perlawanan selama 45 minit.

Zii Jia bakal berdepan sama ada pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long atau pilihan kelima kejohanan, Jonathan Christie dari Indonesia dalam pusingan kedua kejohanan yang berlangsung esok.