Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa menelan hakikat setelah kecundang kepada Lu Guangzu di pusingan pertama Petronas Malaysia Open 2024.
Di set pertama, Zii Jia tampil garang dengan berjaya mengawal penguasaan gelanggang dengan baik untuk mendahului 7-1 di awal permainan.
Selepas itu, Guang Zu terus merencana strategi untuk melakukan serangan dengan beberapa pukulan tajam namun terpaksa akur tunduk di set pertama 21-16.
Set kedua menyaksikan permainan lebih sengit dengan kedua-dua pemain saling mengejar mata untuk mendahului.
Namun, di penghujung set, Lee Zii Jia seperti hilang sedikit fokus lalu tunduk 21-19.
Di set penentuan, pemain dari China ini terus mempamerkan aksi cemerlang dengan beberapa mata berjaya dikutip untuk beliau mendahului dengan selesa.
Zii Jia tidak mengalah dengan terus melawan bagi merapatkan kedudukan namun terpaksa akur dengan kekalahan 21-15.
Pada pusingan seterusnya, Lu Guangzu akan berdepan cabaran pemenang di antara pemain Indonesia, Antony Ginting atau Su Li Yang dari Taiwan.
Lee Zii Jia akan beraksi semula di Terbuka India minggu hadapan bagi meneruskan misi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.