Advertisement
Malaysia Open: Regu Korea Selatan Tunjuk Jalan Keluar Kepada Tan Kian Meng & Pei Jing
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing membuka tahun 2024 dengan langkah kiri hari ini.

Ini selepas regu campuran yang menduduki ranking ke-25 dunia itu disingkirkan regu nombor tujuh dunia dari Korea Selatan, Kim Won-ho dan Jeong Na-eun dalam pusingan pertama Malaysia Open 2024.

Juara German Open 2023 itu ingin membuka tahun 2024 dengan langkah kanan termasuk menambah mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.

Meskipun begitu, Kian Meng-Pei Jing memiliki kelebihan dari segi rekod pertemuan kerana pernah mengatasi Won-ho-Na-eun dua kali dalam tiga rekod pertemuan.

Set pertama menyaksikan regu Korea Selatan itu berada pada kelas tersendiri. Kesilapan mudah yang dilakukan Kian Meng-Pei Jing pantas dihukum Won-ho-Na-eun sehingga mendahului pada kedudukan 11-4.

Regu negara cuba mengejar tetapi pasangan Korea Selatan itu mengungguli set pertama dengan keputusan 21-11.

Set kedua menyaksikan Kian Meng-Pei Jing bermain lebih agresif dan mendahului pada kedudukan 12-6. Bagaimanapun, Won-ho dan Na-eun berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 12-12.

Bekas juara Korea Open 2022 itu cuba mengejar tetapi pada akhirnya, set kedua menjadi milik Won-ho dan Na-eun dengan keputusan 21-16.

Dengan kegagalan Kian Meng-Pei Jing, cabaran negara di Malaysia Open digalas lima lagi wakil negara termasuk perseorangan nombor 11 dunia, Lee Zii Jia.