India Open: Midorikawa-Yamashita Halang Aaron Chia-Wooi Yik Raih Tiket Final
UltraSukan
BA Malaysia

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memberi tentangan sengit sebelum terkandas di peringkat separuh akhir India Open 2026.

Ini selepas beregu negara tewas kepada beregu bukan pilihan Jepun, Hiroki Midorikawa dan Kyohei Yamashita.

Selepas menewaskan wakil Chinese Taipei, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di peringkat suku akhir, Aaron-Wooi Yik bersemangat untuk mara ke final kedua mereka pada tahun 2026.

Ini kali kedua bekas juara dunia itu bertemu Midorikawa-Yamashita. Kali terakhir kedua-dua beregu bertemu ialah peringkat suku akhir Thailand Open 2025.

Wakil Jepun itu terpaksa melupakan hasrat ke separuh akhir apabila tewas kepada Aaron-Wooi Yik dengan keputusan 21-17, 21-17.

Set pertama menyaksikan beregu negara ketinggalan kepada Midorikawa-Yamashita pada kedudukan 14-7. Beregu Jepun itu selesa di hadapan sebelum menang dengan keputusan 21-10.

Set kedua menyaksikan giliran Aaron-Wooi Yik pula mendahului pada kedudukan 11-7. Naib juara Malaysia Open itu terus selesa mendahului sebelum menang dengan keputusan 21-13.

Ini menyebabkan perlawanan diheret ke set penentuan. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Aaron-Wooi Yik membolehkan beregu Jepun mendahului pada kedudukan 11-6.

Meskipun bekas juara dunia itu cuba mengejar, Midorikawa-Yamashita terus mendahului sebelum menang dengan keputusan 21-11.

Beregu Jepun itu akan berdepan sama ada wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju di pentas final.