Beregu lelaki nombor dua dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani membuka kempen India Open 2025 dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua kejohanan itu.
Sze Fei-Izzuddin mengatasi cabaran rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong dalam aksi pusingan pertama.
Kelebihan memihak kepada juara China Open 2024 itu selaku beregu nombor dua dunia berbanding Azriyn-Wee Kiong (beregu ke-29 dunia).
Aksi ini juga dilihat peluang buat Sze Fei-Izzuddin membalas dendam terhadap Azriyn-Wee Kiong. Ini kerana mereka pernah menewaskan juara Japan Open 2024 itu dalam pusingan kedua Japan Masters 2024.
Azriyn-Wee Kiong merekodkan kemenangan 21-9, 23-21 ke atas Sze Fei-Izzuddin dalam kejohanan berkenaan.
Set pertama menyaksikan juara Arctic Open 2024 itu mempamerkan permainan mantap untuk mendahului pada kedudukan 11-5.
Meskipun cuba dicabar Azriyn-Wee Kiong, Sze Fei-Izzuddin kekal konsisten di atas gelanggang sebelum meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-16.
Set kedua menyaksikan Azriyn-Wee Kiong mempamerkan corak permainan agresif di atas gelanggang. Ini membolehkan mereka mendahului pada kedudukan 11-8.
Sze Fei-Izzuddin berjaya mengejar sebelum menyamakan kedudukan 12-12. Beregu nombor satu Malaysia itu kemudiannya menepis cabaran Azriyn-Wee Kiong sebelum menang dengan keputusan 21-16.
Sze Fei-Izzuddin bakal bertemu sama ada satu lagi wakil negara, Arif Junaidi-Yap Roy King atau beregu Jerman, Daniel Hess-Marvin Seidel di pusingan kedua.