Advertising
India Open: Sze Fei-Izzuddin Wakil Tunggal Malaysia Di Final, Tewaskan Rankireddy-Shetty
UltraSukan
Victor Malaysia

Beregu lelaki nombor satu Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani menjadi satu-satunya wakil negara di pentas final India Open 2025.

Mereka mara dengan menewaskan wakil tuan rumah, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di peringkat separuh akhir.

Ad

Selepas empat wakil negara termasuk bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tersingkir di peringkat itu, cabaran Malaysia kini digalas Sze Fei-Izzuddin.

Ad

Meskipun begitu, mereka berdepan cabaran Rankireddy-Shetty yang beraksi di gelanggang sendiri. Selain itu, mereka juga memiliki enam kemenangan daripada tujuh pertemuan lalu membabitkan kedua-dua beregu.

Kali terakhir kedua-dua beregu bertemu ialah pusingan kedua Malaysia Open 2022. Sze Fei-Izzuddin mendapat kemenangan percuma selepas beregu India itu menarik diri.

Ad

Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Pada satu ketika, Rankireddy-Shetty dan Sze Fei-Izzuddin terikat pada kedudukan 15-15.

Ad

Beregu negara kemudiannya mendahului pada kedudukan 17-15. Itu sudah cukup untuk membantu Sze Fei-Izzuddin meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-18.

Ad

Set kedua menyaksikan pada awalnya, juara China Open 2024 itu mendahului pada kedudukan 9-7. Rankireddy-Shetty kemudiannya mengikat kedudukan 10-10.

Permainan rali yang digunakan Sze Fei-Izzuddin membantu mereka mendahului pada kedudukan 16-14. Kedudukan itu terus dipertahankan beregu negara sebelum meraih kemenangan 21-14.

Kejayaan ini menyaksikan Sze Fei-Izzuddin menjadi beregu lelaki Malaysia pertama layak ke final sejak tahun 2023. Edisi tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik mara ke final sebelum tewas kepada wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Sze Fei-Izzuddin berpeluang meraih gelaran juara beregu lelaki buat kali pertama sejak 2010. Edisi tersebut menyaksikan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari muncul juara dengan menewaskan beregu India, Rupesh Kumar-Sanave Thomas.

Sze Fei-Izzuddin bakal berdepan juara Malaysia Open 2025 dari Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo-Seung-jae di pentas final.