Hasrat pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mara ke final India Open tidak kesampaian apabila tumpas di tangan Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Langkah Aaron-Wooi Yik diteruskan lagi di peringkat separuh akhir India Open ini selepas menewaskan pasangan Thailand pada Jumaat dan akan bertemu Won Ho-Seung Jae sebelum ke final.
Oleh kerana baru berpasangan, ini adalah pertemuan sulung antara Won Ho-Seung Jae berdepan Aaron-Wooi Yik namun pasangan Korea ini baru sahaja muncul juara Malaysia Open minggu lalu.
Aksi berlangsung sengit seperti diramal dengan Aaron-Wooi Yik diberikan tekanan hebat melalui serangan pantas namun berhasil ditenangkan untuk skor kembali terikat pada suatu ketika.
Corak serang-menyerang berterusan hingga ke penghujung permainan dengan Aaron-Wooi Yik memimpin 20-19 namun akur tumpas apabila dipintas saat akhir oleh pasangan Korea ini.
Bersambung di set kedua, Won Ho-Seung Jae terus pamer aksi memukau dengan pukulan yang berjaya memerangkap Aaron-Wooi Yik untuk mengutip mata-mata penting di awal aksi.
Walaupun pasangan negara berusaha bangkit, namun aksi lebih cemerlang ditampilkan oleh beregu Korea Selatan ini untuk menutup permainan dengan kemenangan dan mara ke final.
Pertarungan sengit di gelanggang 1 berakhir dengan keputusan 22-20, 21-19 memihak Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Di pentas akhir, Kim Won Ho-Seo Seung Jae akan berdepan pemenang di antara Izzuddin-Sze Fei atau pun Rankireddy-Shetty yang akan bertemu dalam satu lagi aksi separuh akhir.