Pasukan Asia Selatan, India dilaporkan bersetuju menyertai FIFA ASEAN Cup.
The TImes of India melaporkan Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) telah menyatakan persetujuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyertai kejohanan itu.
Timbalan Setiausaha Agung AIFF, M Satyanarayan memaklumkan mereka kini menunggu maklum balas FIFA tentang maklumat terbaru FIFA ASEAN Cup.
“AIFF telah menerima jemputan FIFA dan menandatangani persetujuan penyertaan (FIFA ASEAN Cup). Kita sekarang menunggu maklumat lanjut (daripada FIFA),” katanya.
Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, kehadiran India bukan saja akan memeriahkan lagi kejohanan baharu tersebut. Malah, ini akan menawarkan lawan berkualiti buat anak buah Khalid Jamil.
Selepas gagal layak ke Piala Asia 2027, The Blue Tigers bergelut mencari lawan berkualiti untuk aksi persahabatan antarabangsa.
Bulan Mei menyaksikan India akan menyertai saingan Unity Cup di United Kingdom untuk aksi menentang Jamaica. Jika mereka berjaya mengatasi pasukan Carribean itu, mereka akan menentang Nigeria di pentas final.
Selain India, China dan Hong Kong juga dilaporkan akan menyertai FIFA ASEAN Cup. Kejohanan itu akan berlangsung dalam tetingkap antarabangsa FIFA bulan September dan Oktober ini.