Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) tampil memberi sokongan kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
PSSI menyokong kepimpinan Infantino atas alasan presiden badan induk bola sepak antarabangsa itu banyak memberi sumbangan kepada bola sepak Indonesia.
Rekod pencapaian itu sudah cukup dijadikan sebagai bukti buat PSSI untuk menyokong Infantino kekal sebagai presiden buat penggal ketiga.
“Indonesia telah merasai sendiri impak positif daripada pelbagai inisiatif FIFA di bawah kepimpinan beliau. Inisiatif FIFA di Indonesia telah menterjemahkan misi global FIFA kepada kemajuan dan pembangunan sebenar dalam bola sepak Indonesia.
“Rekod pencapaian ini, serta kepercayaan yang telah dibina, menjadi asas kepada sokongan berterusan PSSI terhadap Presiden Infantino dan terhadap FIFA yang kekal, pertama sekali, sebagai sebuah institusi yang berkhidmat untuk semua persatuan ahlinya,” kata PSSI dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu timbul tatkala semakin banyak negara mula menyatakan pendirian menolak kepimpinan Infantino. Terbaru, Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) memilih menolak Infantino untuk kekal sebagai presiden.
JFA menyifatkan FIFA gagal membantu badan induk itu menyelesaikan pelbagai isu termasuk tunggakan hadiah wang sebagai finalis FIFA Arab Cup 2025.
Selain itu, JFA juga membidas cubaan meraih sokongan Infantino sebagai tukaran kepada bantuan yang diperlukan badan induk itu sebagai satu pemerasan.