FIFA Didakwa Berhutang Dengan FA Jordan
MakanBola
FA Malaysia

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) didakwa masih belum melunaskan bayaran hadiah wang kepada Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) selepas berjaya layak ke final FIFA Arab Cup.

Dakwaan itu dikongsikan Presiden JFA, Putera Ali bin Hussein dalam satu kenyataan di X. Baginda mendakwa bayaran tersebut masih belum dilunaskan walaupun lapan bulan saingan FIFA Arab Cup 2025 berlangsung.

“Kami sudah menunggu wang ganjaran untuk pemain sejak Disember lalu selepas mara ke final FIFA Arab Cup di Qatar – kejohanan anjuran FIFA.

“Wang yang sepatutnya diterima pasukan kerana mara ke final masih belum dilunaskan. Sedangkan FIFA berbangga dengan simpanan berbilion dolar yang dimilikinya.

“Jelas sekali masalah sebenar di sini ialah kepimpinan (FIFA),” katanya.

Selain isu hadiah wang FIFA Arab Cup, Putera Ali turut berkongsi isu visa yang dihadapi penyokong Jordan untuk bertandang ke Amerika Syarikat (US) sempena Piala Dunia 2026.

Baginda juga menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap US kerana mengenakan cukai ke atas pasukan itu menerusi FIFA. Putera Ali merasa pelik dengan tindakan US kerana dua lagi tuan rumah, Kanada dan Mexico tidak mengenakan sebarang cukai buat pasukan yang berpangkalan di situ.

Baginda turut mendedahkan FIFA hanya akan menyelesaikan semua isu berbangkit dengan syarat JFA menyokong pencalonan Presiden FIFA, Gianni Infantino untuk penggal ketiga. Putera Ali melabel tindakan tersebut berbaur ugutan dan memilih enggan menyokong Infantino.

“Selama berbulan-bulan FIFA enggan membantu kami dalam perkara ini dan beberapa isu lain. Sehinggalah saya dimaklumkan secara lisan ketika Piala Dunia (berlangsung) bahawa jika saya menyokong Infantino, ia akan banyak membantu persatuan kami.

“Kami di Jordan merasa bangga menyokong nilai etika. Kami tidak menyokongnya sebelum ini dan pastinya tidak akan berbuat demikian sekarang. Keseluruhan situasi ini merupakan satu pemerasan dan kami enggan tunduk kepadanya,” ujarnya.

JFA menyertai puluhan negara yang terang-terangan menolak kepimpinan Infantino susulan pelan kontroversi Piala Dunia yang dibocorkan kepada media baru-baru ini.

Meskipun pelan tersebut telah dibatalkan, semakin banyak negara yang mahu menyingkirkan Infantino sebagai Presiden FIFA.

JFA bukan satu-satunya entiti yang mendakwa FIFA berhutang dengan mereka. Pihak berkuasa 11 bandaraya US yang menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia turut mendakwa badan induk itu gagal melunaskan bayaran yang dijanjikan kepada mereka.