Indonesia Gah Tumbangkan Oman
MakanBola
Timnas Indonesia

Indonesia terus menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan John Herdman apabila menewaskan Oman dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).

Aksi ini bukan saja peluang buat Indonesia meraih mata untuk memperbaiki ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Malah, ini juga medan buat Herdman mengenal pasti pemain-pemain yang berpotensi beraksi dalam saingan ASEAN Hyundai Cup.

Penyerang Oxford United, Ole Romeny terus menjadi sandaran gol Tim Garuda. Oman yang dibimbing legenda Maghribi, Tarik Sektioui pula menjadikan penyerang Bangkok United, Muhsen Al Ghassani sebagai sandaran gol.

Sebaik perlawanan bermula, tuan rumah mula mengasak untuk mendapatkan gol pendahuluan menerusi gandingan Romeny, Beckham Putra dan Ragnar Oratmangoen.

Penyokong Indonesia ceria apabila bekas pemain Wolverhampton Wanderers, Justin Hubner menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-13/

Romeny kemudiannya menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-27. Oman menyangka mereka mendapat talian hayat apabila dianugerahkan sepakan penalti.

Malangnya, sepakan penalti yang diambil Hatem Al-Rushadi berjaya dinafikan penjaga gol Cremonese, Emil Audero pada minit ke-36. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Herdman memasukkan Donny Tri Pamungkas dan Calvin Verdonk bagi memantapkan benteng pertahanan Indonesia.

Oman makin derita apabila dibolosi buat kali ketiga pada minit ke-56. Kali ini, giliran Ragnar yang beraksi untuk FCV Dender EH mencetak nama sebagai penjaring.

Indonesia terus memberi tekanan kepada Oman untuk memburu gol tambahan tetapi tidak berhasil. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ini kemenangan kedua Herdman bersama Indonesia selepas menewaskan St. Kitts and Nevis pada Mac lalu. Selepas ini, Indonesia akan menentang Mozambique pada 9 Jun.

Oman pula akan menentang Kuwait dalam satu lagi aksi persahabatan pada hari sama. Kuwait segar daripada kejayaan mengikat pasukan nombor satu ASEAN, Thailand 2-2 di Stadium Pathum Thani.

Claim Money Packet TnG