Indonesia membuka era John Herdman dengan kemenangan apabila menewaskan St. Kitts dan Nevis dalam perlawanan FIFA Series di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).
Perlawanan ini dilihat peluang terbaik Tim Garuda meraih kemenangan buat bekas jurulatih Kanada itu. Ini kerana ini aksi pertama beliau bersama Indonesia selepas menggantikan Patrick Kluivert.
Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mengemudi jentera tengah Indonesia. Penyerang Morecambe, Harry Panayiotou mengetuai jentera serangan pasukan dari kepulauan Carribean itu.
Separuh masa pertama menyaksikan Indonesia tampil garang menerusi gandingan Ole Romeny, Ramadhan Sananta dan Beckham Putra Nugraha.
Gol yang dicari Tim Garuda hadir pada minit ke-15. Beckham menyudahkan hantaran Romeny melepasi penjaga gol pelawat dan kapten, Julani Archibald.
Kombinasi dua pemain itu merobek gawang St. Kitts dan Nevis buat kali kedua 13 minit selepas itu. Beckham menggandakan kelebihan tuan rumah selepas menerima hantaran penyerang Oxford United itu.
St. Kitts dan Nevis bernasib baik tidak beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan pasukan itu menjatuhkan Beckham di luar kotak penalti. Insiden itu dikesan pegawai VAR, Nazmi Nasaruddin.
Selepas melihat semula insiden berkenaan di monitor, pengadil Singapura, Muhammad Taqi Aljaafari memilih hanya menganugerahkan sepakan percuma kepada Indonesia.
Indonesia terus memburu jaringan tambahan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Indonesia terus mengasak untuk mendapatkan jaringan tambahan.
Gol yang dicari hadir pada minit ke-53. Kali ini, giliran Romeny pula mencetak nama sebagai penjaring dengan menewaskan Archibald.
Kelebihan tiga gol mendorong Herdman memasukkan empat pemain gantian. Empat pemain tersebut ialah Ivar Jenner, Joey Pelupessy, Yakob Sayuri dan Sandy Walsh.
Penyerang muda Persija Jakarta, Mauro Zijlstra menambah derita St. Kitts dan Nevis dengan gol keempat pada minit ke-75.
Indonesia terus ghairah memburu gol tambahan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Indonesia akan berentap dengan Bulgaria untuk aksi final FIFA Series.
St. Kitts dan Nevis pula akan turun menentang Kepulauan Solomon dalam satu lagi aksi. Kesemua perlawanan akan berlangsung pada 30 Mac ini.