Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir memaklumkan Indonesia akan menghantar skuad terkuat bagi menghadapi FIFA ASEAN Cup.
CNN Indonesia melaporkan jaminan itu dibuat beliau selaras dengan status Indonesia sebagai tuan rumah Divisyen Premier FIFA ASEAN Cup.
Erick melihat dengan kejohanan berlangsung dalam kalendar antarabangsa FIFA, ini membolehkan jurulatih Tim Garuda, John Herdman memanggil ramai pemain yang berpangkalan di luar negara untuk kejohanan tersebut.
“Khusus buat FIFA ASEAN Cup, kerana ini di kalendar FIFA, kita bisa memberikan pasukan terbaik yang kita punya,” katanya.
“Kalau di luar kalendar FIFA, kita harus faham tidak mudah bagi kelab memberikan kebenaran kepada pemain bergabung (dengan skuad kebangsaan).
“Saya hargai liga dan kelab-kelab nasional memberikan kebenaran pemain bergabung di luar kalendar FIFA, kerana yang menggaji pemain kebanyakan kelab.”
Selain dapat membantu menambah baik kedudukan ranking dunia, kempen FIFA ASEAN Cup juga memberi ruang kepada anak buah Herdman untuk bangkit selepas tersingkir daripada saingan ASEAN Hyundai Cup.
Indonesia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan itu apabila sekadar menamatkan kempen di tempat ketiga Kumpulan A. Singapura dan Vietnam masing-masing mara ke separuh akhir selaku juara dan naib juara kumpulan.