Singapura dipaksa bekerja keras sebelum berjaya mengikat Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan A ASEAN Hyundai Cup
2026 pada Jumaat.
Keputusan seri 1-1 sudah memastikan Singapura layak ke peringkat separuh akhir sementara Indonesia sah tersingkir dari kejohanan ini.
Kesebelasan utama Indonesia dibarisi muka-muka ternama antaranya Thom Haye, Mitchell Baker serta Eliano Reijnders sementara Singapura turun dengan penyerang baharu berbisa Lion City Sailors, Ilhan Fandi ditugaskan bagi merobek gawang lawan yang dijaga oleh Cahya Supriadi.
Separuh masa pertama bermula dengan seimbang apabila kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan menerusi ayam tambatan utama masing-masing Ilhan Fandi & Ragnar Oratmangoen namun tiada jaringan dapat ditemui.
Memasuki babak kedua, penyerang baharu Persib Bandung, Ragnar Oratmangoen berjaya menjaringkan gol pembukaan aksi pada minit ke-47 hasil rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti Singapura sekali gus menyalakan peluang Garuda untuk layak ke peringkat separuh akhir.
Selepas itu, pemain Singapura dilihat meningkatkan tempo permainan bagi mencari gol penyaman di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Anak legenda Singapura, Ilhan Fandi memastikan jaringan penyaman itu muncul pada minit ke-66 selepas kesilapan benteng pertahanan Indonesia untuk mengeluarkan bola dengan lebih pantas sekali gus menghukum negara tersebut.
Keputusan seri 1-1 tersebut kekal sehingga tamat separuh masa kedua sekali gus memastikan tuan rumah mara ke pusingan separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026 serentak meleburkan hasrat Garuda untuk merangkul trofi berprestij ini buat kali pertama dalam sejarah kejohanan.