Indonesia kembali menggerakkan Liga 1 Puteri selepas kali terakhir diadakan pada 2019.
Semasa liga itu diperkenalkan pada 2019, 10 pasukan mengambil bahagian termasuk Persib Bandung, Bali United dan Persija Jakarta. Pasukan Persib Puteri muncul juara dengan menewaskan TIRA-Persikabo Kartini 6-1 secara agregat.
Liga 1 Puteri sepatutnya diteruskan pada 2020 dan 2021. Meskipun begitu, liga tersebut tidak dapat dianjurkan susulan pandemik Covid-19.
Meskipun timbul gesaan agar Liga 1 Puteri diperkenalkan semula, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dilihat gagal memberi jawapan memuaskan bila pertandingan itu akan diadakan semula.
Hal ini mencetuskan rasa tidak puas hati penggiat bola sepak negara itu. Wartawan sukan dan pengulas bola sepak Indonesia, Mohamad Kusnaeni menyifatkan ini tidak sepatutnya berlaku dengan pemain-pemain wanita memerlukan pertandingan untuk meningkatkan kemajuan mereka.
“Pasti ada (pemainnya). Yang penting itu wadahnya ada dulu, pertandingan disiapkan, akan datang pemainnya. Pertandingan itu magnetnya. Setelah itu akan datang pemain satu persatu di kelab masing-masing, berlatih bersama kelab, menyertai pertandingan dan dari situ kita dapat bahan untuk pasukan kebangsaan.
“Itu rumus yang asas berlaku di mana-mana (negara). Sudah dibuktikan di futsal dalam perspektif tertentu dan sudah diuji di pelbagai negara lain,” katanya kepada DetikSport pada Januari lalu.
Kini, Presiden PSSI, Erick Thohir memaklumkan Liga 1 Puteri akan diperkenalkan semula dengan enam pasukan mengambil bahagian. Pertandingan dijangka bermula sekitar Oktober ini.
Erick turut bersetuju dengan bilangan pemain wanita yang semakin ramai, mereka amat memerlukan pertandingan sebagai medan pendedahan.
“Ketika sekarang akar umbi sudah memiliki sekitar 50,000 (orang pemain) dalam pangkalan data selama tiga tahun terakhir. Dengan adanya kelompok usia U-17, U-20, dan senior. Maka liga harus mulai berjalan agar para pemain memiliki wadah kompetisi.
Kalau tidak ada liga, nanti para pemain ini akan bermain di mana,” katanya seperti dilaporkan JPNN.
Liga 1 Puteri bakal mengetengahkan enam pasukan yang berpangkalan sekitar Banten, Jawa Barat dan Jakarta. Ini kerana Erick melihat kestabilan kewangan sebagai kunci buat semua pasukan dapat bertahan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
“Rencananya enam kelab ini akan berpangkalan di sekitar Banten, Jakarta, dan Jawa Barat terlebih dahulu supaya kos perjalanan tidak terlalu mahal. Kalau jaraknya dekat, bisa menggunakan bas dan mungkin tidak perlu menginap,” tuturnya.
“Harapannya, dalam dua hingga tiga tahun ke depan, kelab-kelab wanita ini tidak mengalami masalah pendanaan. Kan sayang kalau baru berjalan sebentar kemudian ada yang mundur.”
Erick melihat Liga 1 Puteri ini sebagai peluang buat pemain-pemain wanita Indonesia terus menyerlah.
Ini sekaligus berpotensi menjadi aset tambahan skuad wanita negara itu pada masa akan datang.