Indonesia Luaskan Rekod Sejarah Sepanjang Zaman
MakanBola
Timnas Indonesia

Pasukan kebangsaan Indonesia kini telah melebar luaskan satu lagi rekod sejarah sepanjang zaman.

Impian 290 Juta rakyat Indonesia untuk melihat pasukan kebanggaan mereka layak ke pentas separuh akhir, ASEAN Hyundai Cup 2026 lebur begitu sahaja.

Pasukan bimbingan John Herdman yang dibarisi barisan bintang warisan gagal memenuhi jangkaan selepas menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga dengan hanya tujuh mata selepas empat perlawanan.

Kedudukan ini menyaksikan Sang Garuda berada di belakang juara kumpulan, Vietnam (10 mata) selain tidak berjaya untuk mengatasi kedudukan Singapura di tangga kedua dengan 8 mata.

Kempen edisi 2026 kali ini menyaksikan Indonesia yang telah beraksi sejak tahun 1996 dengan kejohanan pada ketika itu dikenali sebagai Tiger Cup masih belum berjaya memecahkan kebuntuan piala.

Sepanjang 15 edisi yang telah dipertandingkan, Thailand muncul selaku raja Asia Tenggara selepas berjaya muncul juara sebanyak tujuh kali diikuti oleh Singapura (4 kali).

Vietnam yang kini menduduki tangga ke-99 dunia juga telah mengumpul tiga koleksi kejuaraan dengan Harimau Malaya muncul juara satu kali iaitu pada tahun 2010.

Badi Indonesia berterusan selepas masih belum berjaya muncul juara sungguhpun telah memasuki pentas final Piala AFF sebanyak enam kali (2000,2002,2004,2010,2016 dan juga 2020).

Indonesia tewas empat kali menentang Thailand pada pentas final (2000,2002,2016 dan 2020), kepada Singapura satu kali (2004) dan Malaysia satu kali iaitu pada tahun 2010 yang juga menjadi tahun keramat buat bola sepak Malaysia.