Indonesia Open: Pearly Tan-M. Thinaah Ke Final, Singkirkan Yi Jing-Xu Min
UltraSukan
MSN Malaysia

Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah berjaya meraih tiket final Indonesia Open 2025.

Ini selepas beregu keempat dunia itu menewaskan wakil China, Li Yi Jing dan Luo Xu Min dalam aksi separuh akhir di Istora Senayan.

Selepas berjaya menyingkirkan beregu kelima dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di peringkat suku akhir, Pearly-Thinaah berharap dapat mara ke separuh akhir.

Yi Jing-Xu Min menjadi penghalang antara mereka dan pentas final. Aksi ini juga dilihat peluang buat Pearly-Thinaah menebus kekalahan mereka kepada wakil China itu.

Ini kerana Yi Jing-Xu Min bertanggungjawab menyingkirkan mereka di peringkat suku akhir China Open 2024. Wakil China itu menang dengan keputusan 21-16, 21-18.

Set pertama menyaksikan Yi Jing-Xu Min menguasai permainan di gelanggang. Mereka mendahului Pearly-Thinaah pada kedudukan 12-9.

Walaupun beregu negara cuba mengejar, Yi Jing-Xu Min kekal unggul di hadapan. Wakil China itu kemudiannya menang dengan keputusan 21-12.

Set kedua menyaksikan Pearly-Thinaah berusaha bangkit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan. Ini menyaksikan kedua-dua beregu pada satu ketika terikat pada kedudukan 11-11.

Pearly-Thinaah kemudiannya mendahului pada kedudukan 17-14. Kedudukan itu dipertahankan sebelum mereka menang dengan keputusan 21-17.

Set ketiga menyaksikan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Yi Jing-Xu Min membolehkan Pearly-Thinaah mendahului pada kedudukan 11-2.

Kelebihan itu terus dipertahankan juara Thailand Open 2025 itu sebelum menang dengan keputusan 21-11.

Pearly-Thinaah akan berdepan sama ada satu lagi wakil China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau wakil Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee di peringkat akhir.