Aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026 membabitkan Indonesia dan Jepun pada 15 November ini dijangka menarik.
Ini kerana Samurai Biru yang dibimbing Hajime Moriyasu masih kekal tanpa kalah dalam Kumpulan C selepas mengharungi empat perlawanan. Sementara Tim Garuda pula mahu melupakan kekalahan pahit 2-1 di tangan China.
Aksi ini cukup menarik ia merupakan ulangan aksi Piala Asia 2023 membabitkan kedua-dua pasukan dalam Kumpulan D. Aksi yang berlangsung pada 24 Januari lalu menyaksikan Jepun meraih kemenangan 3-1.
Dua gol Ayase Ueda dan gol sendiri Justin Hubner memastikan kemenangan milik pasukan gergasi Asia itu. Sementara Sandy Walsh menjaringkan gol saguhati buat Indonesia.
Justeru, aksi kelima Kumpulan C dilihat peluang buat anak buah Shin Tae-yong membalas dendam terhadap Jepun. Meskipun begitu, bukan mudah buat Indonesia untuk meraih kemenangan ke atas Samurai Biru.
Ini kerana daripada 16 pertemuan lalu, sembilan daripadanya memihak kepada Jepun. Ini termasuk aksi Kumpulan D Piala Asia 2023 pada 24 Januari lalu.
Kali terakhir Jepun tewas kepada Indonesia ialah aksi persahabatan antarabangsa pada 24 Februari 1981. Bambang Nurdiansyah dan Berty Tutuarima menyumbat gol buat Tim Garuda.
Satu nama yang dijangka tiada untuk Jepun bila menentang Indonesia ialah Ueda. Ini selepas kelabnya, Feyenoord melaporkan penyerang berusia 26 tahun itu perlu berehat selama beberapa minggu kerana kecederaan hamstring.
Sementara Indonesia pula terpaksa melupakan Asnawi Mangkualam, Ernando Ari Sutaryadi dan Malik Risaldi kerana isu kecederaan. Asnawi mengalami kecederaan hamstring, Ernando (kecederaan bahu) dan Malik (kecederaan kaki).
Indonesia berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Gelora Bung Karno apabila berhadapan dengan Jepun nanti.