“Ini Aksi Kalah Mati Buat JDT” – Tunku Ismail
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyifatkan aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Johor Darul Ta’zim dan Vissel Kobe sebagai penentu kemaraan pasukan itu dalam kejohanan berkenaan.

Hasrat JDT untuk meraih satu mata di bumi Jepun musnah apabila tewas 2-1 kepada Sanfrecce Hiroshima.

Kekalahan ini menyaksikan JDT perlu mengatasi cabaran Kobe dalam aksi terakhir Liga Timur ACLE jika mahu mara ke pusingan 16 kejohanan itu.

Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mengakui aksi menentang Kobe merupakan satu tugasan sukar buat anak buah Xisco Munoz.

Pada masa sama, baginda juga percaya inilah peluang buat pasukan itu untuk terus melakar sejarah di pentas berprestij Asia.

“Satu penghormatan bermain dalam pertandingan tertinggi di Asia dan lawan pasukan terkuat dalam kumpulan kita. Ini adalah perlawanan kalah mati buat kami.

“Sebagai satu kelab yang kerdil bercita-cita tinggi dan sentiasa ingin mencipta sejarah ia adalah tanggungjawab kita untuk tunjuk mereka, orang luar negara, Keramahan Selatan,” katanya di ruang komen Johor Southern Tigers.

JDT bakal turun menentang Kobe di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 17 Februari ini. Penyokong yang masih belum mendapatkan tiket perlawanan boleh mendapatkannya di platform Ticket Hotline.