Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bakal menjadi saksi perlawanan bertaraf tinggi antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab Jepun, Vissel Kobe.
Aksi terakhir Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) ini cukup penting buat Harimau Selatan. Ini kerana aksi ini menjadi penentu sama ada JDT layak ke pusingan 16 ACLE atau sebaliknya.
Atas sebab itu, JDT mengharapkan sokongan padu penyokong untuk aksi berkenaan pada 17 Februari ini.
Ini terbukti apabila DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkongsi poster jualan tiket perlawanan JDT menentang Kobe di Instagram Story.
Hal ini disedari pemerhati bola sepak JDT, Hafiz Othman. Beliau melihat perkongsian baginda itu sebagai seruan buat para penyokong agar bersama pasukan dalam detik paling kritikal di pentas Asia.
“Lebih daripada sekadar perkongsian, hantaran Tunku itu membawa makna simbolik yang jelas iaitu satu seruan kepada penyokong agar memenuhi stadium dan berdiri bersama pasukan dalam detik paling kritikal musim ini.
“Kehadiran penyokong bukan lagi pelengkap suasana, tetapi komponen strategik, satu manifestasi solidariti yang diharapkan mampu menjadi pemangkin terakhir dalam perjuangan JDT di pentas elit Asia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Bukan sekali kehadiran puluhan ribu penyokong menjadi pemangkin semangat JDT menentang pasukan gergasi Asia.
Misalnya, aksi Liga Timur ACLE JDT menentang Pohang Steelers menarik kehadiran 34,590 orang pada musim 2024/25. Aksi itu menyaksikan Harimau Selatan membelasah kelab Korea Selatan itu 5-2.
Satu lagi kelab yang menjadi mangsa amukan JDT di SSI pada musim sama ialah bekas juara K-League 1, Ulsan HD. 34,236 orang menjadi saksi pasukan itu menewaskan Ulsan 3-0.
Justeru, kehadiran penyokong untuk aksi menentang Kobe ditagih JDT bagi memastikan tiket pusingan 16 ACLE dalam genggaman.