Selangor jelas kurang bernasib baik apabila tumpas kepada Sabah di aksi pertama Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024.
Menurut kapten Selangor FC Futsal, Fariq Mohammad, Selangor tidak menggunakan peluang sebaiknya untuk mencetak gol dan merasakan pasukannya tidak bernasib baik pada hari ini.
”Pada separuh masa pertama, banyak peluang yang tak diambil, mungkin ini bukan hari kami,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Beliau mengakui semangat sepasukan agak sedikit kendur apabila deretan peluang gagal disudahkan dan dalam masa yang sama pihak lawan mula mendapat jaringan.
“Peluang terlalu banyak, bila pasukan lawan dapat hasilkan jaringan, semangat kami sedikit luntur di situ,” ujar beliau yang pasrah dengan kekalahan ini.
Namun, beliau kekal optimis untuk mengejar kejuaraan liga meskipun menghadapi permulaan yang memeritkan ini.
”Walau apa-apa pun, saya tetap fikir positif pada 13 perlawanan lagi, kita harus fokus satu perlawanan demi satu perlawanan.
Beliau mengakui terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan akan datang menentang Pahang Rangers terutamanya dari aspek menyempurnakan peluang di hadapan pintu gol lawan.
”Saya nampak ada sedikit kekurangan di situ tetapi seperti yang saya cakap, bila peluang tak dimanfaatkan, pasukan lawan pula ambil tiga hingga empat peluang, itu yang buatkan (moral) kami sedikit jatuh,” tambah beliau di akhir temu bual.
Aksi yang berlangsung di KSN Panasonic Shah Alam pada Ahad menyaksikan Fariq dan rakan sepasukan tewas di hadapan penyokong sendiri 2-3 kepada Sabah, dengan gol Selangor dijaringkan oleh Syed Aizad dan Faris Johan.
The Red Giants akan berhadapan ujian gentir menentang juara bertahan MPFL 2023, Pahang Rangers selepas ini pada 24 Februari.