Pengendali skuad hoki remaja Malaysia, Muhamad Amin Rahim menggesa anak-anak buahnya untuk bangkit daripada kegagalan layak ke pusingan suku akhir Hoki Piala Dunia Remaja 2023 setelah menamatkan aksi kumpulan di tangga ketiga.
Beliau menyeru anak-anak buahnya untuk kembali sedar dan bangkit dari kekecewaan lalu memandangkan inilah cabaran yang perlu mereka tempuh untuk bersaing di peringkat dunia.
“Sebagai pasukan, semua orang perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan ini. Ini kejohanan dunia, pemain kena sedar dan inilah cabarannya, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, kita terima kekalahan ini dengan hati terbuka. Bila kita tak layak ke suku akhir, kita perlu buang (kekecewaan) itu,” ujar bekas pemain skuad kebangsaan itu.
Jurulatih itu juga menekankan persiapan aspek mental para pemainnya yang dilihat kecewa dengan keputusan perlawanan lepas untuk menamatkan kempen Hoki Piala Dunia Remaja ini di kedudukan terbaik.
“Kita kena terus fokus mempersiapkan mental untuk habiskan kejohanan ini (di kedudukan terbaik), tiada siapa boleh rehat dan cuti kerana masih ada misi perlu habiskan.
Boleh lihat mereka agak kecewa tapi masih ada peluang untuk kita habiskan dengan kedudukan tinggi dalam kempen kali ini,” katanya pada sidang media tadi.
Mengenai pasukan Mesir yang akan dihadapi oleh skuad negara di pusingan seterusnya, beliau meningatkan anak-anak buahnya untuk sentiasa berwaspada memandangkan pemain-pemain Mesir memiliki kelebihan fizikal yang lebih baik berbanding pemain negara.
Beliau menambah, dua hari rehat yang dimiliki akan dimanfaatkan sepenuhnya mereka untuk memperbaiki kelemahan mereka terutamanya di bahagian serangan di samping mengkaji corak permainan lawan.
Skuad hoki remaja negara dijadualkan berhadapan Mesir dalam pusingan klasifikasi tempat ke-9 hingga ke-16 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Isnin jam 9 pagi