“Ini Peluang Naikkan Ranking Malaysia” – Faisal Halim
MakanBola
Malaysia National Team

Pemain sayap Malaysia, Faisal Halim melihat saingan FIFA ASEAN Cup sebagai medan terbaik menaikkan kembali negara dalam kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya tentang edisi sulung kejohanan anjuran badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Faisal melihat kejohanan ini bukan saja memberi peluang buar barisan pemain negara mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Malah, ini juga peluang buat Harimau Malaya meneruskan usaha memperbaiki pencapaian termasuk kedudukan terkini ranking FIFA.

“Ini adalah satu pertandingan yang baru untuk pasukan kebangsaan dan diianjurkan oleh FIFA.Saya rasa ini adalah satu peluang yang terbaik untuk pasukan kebangsaan menaikkan ranking negara.

“Apa yang saya boleh katakan dengan skuad yang ada, pemain-pemain dan rakan-rakan yang ada di sini, saya rasa mampu beri yang terbaik dan mampu bersaing di peringkat yang tertinggi,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Faisal turut mengakui teruja kerana kejohanan ini bakal menyaksikan Malaysia dan Indonesia kembali berentap selepas tidak bertemu selama lima tahun.

Beliau juga percaya mana-mana pemain yang diberi kepercayaan oleh jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mampu memberi aksi cemerlang bila bertemu Tim Garuda.

“Sudah lama saya rasa pasukan kebangsaan tak ada perlawanan yang sukar di antara Malaysia dan Indonesia. Apa-apa sekalipun, pemain rakan-rakan semua kena bersedia.

“Siapa yang Coach Tan (Cheng Hoe) memberi peluang (beraksi) ataupun diturunkan, tanggungjawab untuk pasukan kebangsaan ini begitu besar,” ujarnya.

Selepas melapor diri pada 21 September lalu, rombongan skuad negara telah berlepas ke Jakarta, Indonesia pada Selasa untuk meneruskan persiapan menghadapi kejohanan itu.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan A FIFA ASEAN Cup dengan menentang Bangladesh pada 25 September ini.