Pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Heberty Fernandes menzahirkan rasa bangga dengan kemenangan yang diraih skuad Harimau Selatan dalam aksi berdepan Ulsan Hyundai di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam semalam.
Penjaring pertama perlawanan ini menganggap JDT sememangnya layak untuk mendapatkan tiga mata selepas berjaya menewaskan gergasi dari Korea Selatan di laman sendiri.
Ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam usai perlawanan, penyerang berusia 35 tahun ini berkongsi rasa gelisahnya saat Ulsan Hyundai berjaya menyamakan kedudukan.
Beliau akui fikirannya ketika itu hanya tertumpu untuk membantu pasukan serta mencari jalan untuk menjaringkan gol dan mencatat kemenangan.
“Saya amat bangga dengan pasukan ini, amat bangga dengan suasana dan atmosfera di stadium ni. Kita bermain dengan bagus dan kita sememangnya berhak untuk mendapat kemenangan malam ini.”
“Dalam kepala saya, saya hanya fikir untuk terus melawan, untuk terus membantu pasukan mendapatkan kemenangan,” ujar Heberty.
Meskipun jaringan kemenangan yang dijaringkan pemain gantian, Akhyar Rashid tercetus pada babak akhir permainan, semangat melawan yang ditonjolkan anak buah Esteban Solari ini benar-benar membuahkan hasil.
Penyerang dari Brazil ini percaya bahawa JDT miliki peluang yang cerah untuk meloloskan diri ke peringkat seterusnya. Beliau yakin rakan sepasukannya yang lain sudah tentu ada kemahuan yang sama untuk terus menjulang JDT di pentas Asia.
“Dengan keyakinan dan kepercayaan yang tinggi, saya percaya kita boleh lakukan. Kita ada baki dua perlawanan lagi. Kita tahu ini perlawanan sukar akan tetapi kita akan berikan 100%. Kita akan bertarung sehingga ke akhirnya.”
Dalam saingan Kumpulan I ketika ini, JDT menghuni tangga ketiga apabila berkongsi mata dengan Ulsan Hyundai namun dibezakan dengan kelebihan jaringan. Gergasi dari Jepun, Kawasaki Frontale menjadi pendahulu saingan Kumpulan I dengan 12 mata berjaya diraih selepas empat perlawanan.
Aksi seterusnya menyaksikan JDT bakal berdepan Kawasaki Frontale di gelanggang lawan pada 28 November kelak sebelum beraksi menentang BG Pathum di Stadium Sultan Ibrahim pada 12 Disember untuk aksi terakhir dalam saingan Kumpulan I.