Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola mencuri perhatian ramai peminat bola sepak apabila mengucapkan kalimah Insya Allah.
Kalimah itu dinyatakan beliau dalam sidang media praperlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers.
Bekas jurulatih Barcelona itu menggunakan kalimah Insya Allah sebagai penegasan bahawa skuadnya mampu bersaing dengan pendahulu liga, Arsenal.
Pada masa sama, Guardiola memaklumkan perkara itu hanya boleh berlaku sekiranya semua pemain terutama pemain sayap yang cedera kembali cergas sepenuhnya.
City terpaksa menyisihkan ramai tonggak akibat masalah kecederaan. Antara yang tiada dalam pasukan ialah Josko Gvardiol, Ruben Dias, John Stones, Savinho dan Mateo Kovacic.
“Berapa pemain sayap yang kita ada lawan Bodo (Bodo/Glimt)? Kosong. Jadi, bila kita tiba di situ dan hadapi bentuk (formasi pihak lawan) dengan Nico O’Reilly dan Rayan Ait-Nouri, itu tidak sama dengan Savinho, Jeremy Doku.
“Insya Allah dan Oscar Bobb, semua pemain sayap yang kita ada, kita mencuba. Ini kerana kita tidak mempunyai pasukan (yang lengkap).
“Apa yang saya minta tak susah, berikan saya satu pasukan yang cergas. Itu saja yang saya minta tetapi kita tidak memilikinya. Bila kita ada mereka, kita boleh menang lapan perlawanan berturut-turut,” katanya seperti dilaporkan Beanyman Sports.
City berharap dapat bangkit selepas dimalukan kelab Norway, Bodo/Glimt dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara UEFA (UCL) baru-baru ini.