Advertising
Israel ‘Lunyai’ Dibelasah Skuad Muda Paraguay
MakanBola
Comite Olimpico Paraguayo

Paraguay menghidupkan peluang layak ke suku akhir Sukan Olimpik 2024 apabila membelasah Israel 4-2 dalam aksi kedua Kumpulan D.

Selepas tewas 5-0 kepada Jepun dalam aksi pertama kumpulan, La Albirroja perlu menang jika ingin layak. Sementara The Skyblue and Whites pula mahukan kemenangan untuk mengiringi Jepun ke pusingan seterusnya.

Penyerang muda Brighton, Julio Enciso mengetuai jentera serangan Paraguay. Manakala pemain tengah KAA Gent, Omri Gandelman pula mengetuai Israel.

Ad

Separuh masa pertama menyaksika La Albirroja melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah gawang The Skyblue and Whites yang dikawal Omer Nimron.

Paraguay akhirnya membuka tirai jaringan menerusi penyerang Libertad, Marcelo Fernandez pada minit ke-25.

Ad
Ad

Tersentak, Israel yang dibimbing bekas pengendali Charlton Athletic, Guy Luzon berusaha memburu jaringan penyamaan.

Ad

Walau bagaimanapun, penjaga gol veteran Botafogo, Gatito Fernandez memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, The Skyblue and Whites terus menggandakan asakan untuk mendapatkan jaringan penyamaan. Hasilnya, Gandelman menyamakan kedudukan 1-1 menerusi gol pada minit ke-53.

Enciso yang menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Israel kembali meletakkan La Albirroja di hadapan pada minit ke-69.

The Skyblue and Whites kemudiannya menyamakan kedudukan buat kali kedua menerusi pemain tengah menyerang Red Bull Salzburg, Oscar Gloukh pada minit ke-80.

Hajat Israel meraih sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila Fabian Balbuena dan Fernandez masing-masing meledakkan gol pada minit ke-93 dan 96.

Keputusan ini menyaksikan Paraguay berada di tangga kedua kumpulan, dua mata di hadapan Israel. Sofascore memilih pemain tengah Inter Miami, Diego Gomez sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.6.

Selepas ini, Israel perlu berdepan Jepun pada awal pagi 31 Julai. Sementara Paraguay pula menang ke atas Guinea pada hari sama untuk mengiringi Jepun.