Tonggak skuad Perancis Bawah 21 Tahun (B-21), Rayan Cherki kini dalam radar Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC).
RMC Sport melaporkan FIGC berhasrat membawa bintang Olympique Lyon itu untuk mewakili Itali di peringkat antarabangsa. Ini kerana datuk Cherki, Fabrice berasal dari Puglia, sebuah wilayah di selatan Itali.
Justeru, FIGC menggunakan aksi persahabatan membabitkan skuad Perancis Bawah 21 Tahun (B-21) dan Itali B-21 pada 15 November lalu sebagai peluang memantau kemajuan graduan akademi Lyon itu.
Selain Itali, Cherki juga berpeluang mewakili Algeria di peringkat antarabangsa. Ini kerana ibu bapanya berdarah Algeria.
Itali memiliki sejarah merekrut pemain warisan beraksi untuk skuad kebangsaan mereka. Malah, skuad Azzurri yang dibimbing Luciano Spalletti itu memiliki beberapa pemain warisan.
Antara pemain warisan yang dipanggil Spalletti ialah Moise Kean, Mateo Retegui, Destiny Udogie dan Caleb Okoli. Manakala skuad Itali B-21 pula mengetengahkan nama-nama seperti Wilfred Gnonto, Michael Kayode dan Cher Ndour.
Selain dua negara berkenaan, Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) turut berharap Cherki terus mewakili Perancis. Ini kerana pemain sayap muda itu sudah mewakili Perancis sejak 2018.
Minat tiga negara ini timbul tatkala khidmat Cherki diintai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool. The Reds perlu bersedia membayar £17 juta (RM95 juta) jika mahu mendapatkan khidmatnya.