Ivan Mamut Pilih Ke Persija Jakarta
MakanBola
Persija Jakarta

Bekas penyerang Terengganu FC, Ivan Mamut kembali mewarnai bola sepak ASEAN dengan menyertai Persija Jakarta.

Perpindahan pemain Croatia berusia 29 tahun itu diumumkan pengurusan Persija menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan itu.

“Penyerang baru, sasaran baru dan semangat baru. Ivan Mamut kini rasmi menjadi sebahagian daripada Persija untuk menyambut Super League 2026/2027 dan 2027/2028.

“Penyerang Croatia berusia 29 tahun itu siap memberikan sumbangan terbaiknya di bahagian hadapan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Selepas memuktamadkan perpindahan, Mamut mengakui merasa selesa bersama Persija. Beliau turut memaklumkan rakan senegara dan bekas penyerang Negeri Sembilan, Marko Simic membantu merealisasikan perpindahan ke kelab tersebut.

“Saya senang berada di sini, di kelab ini. Saya tidak sabar untuk memulakan latihan pertama bersama pasukan dan beraksi dalam perlawanan pertama.

“Saya mendengar banyak hal baik tentang Persija. Saya juga banyak berbicara dengan Marko Simic. Dia sangat membantu saya, dan kerana dialah saya ada di sini sekarang,” katanya.

Mamut tiba di Indonesia dengan yuran perpindahan €500,000 (RM2.4 juta) mengikut semakan di Transfermarkt. Sebelum menyertai Persija, beliau beraksi bersama NK Varazdin selama semusim dan menjaringkan 14 gol.

Mamut bukan satu-satunya bekas pemain Liga Malaysia (Liga M) yang mewakili Persija. Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat juga beraksi untuk pasukan sama.