Bekas penyerang Terengganu FC, Ivan Mamut dilihat semakin berbisa bersama kelab baharunya, NK Varazdin.
Ini kerana kelab itu kini menghambat kelompok tiga pasukan teratas Liga Bola Sepak Croatia (HNL) di tangga keempat dengan 32 mata.
Tiga kemenangan dalam lima aksi terakhir liga menyaksikan Varazdin berkongsi mata sama dengan juara bertahan yang menduduki tempat ketiga, HNK Rijeka.
Tiga aksi itu turut menyaksikan Mamut menjaringkan gol bersama kelab berkenaan. Penyerang berusia 28 tahun itu kini merekodkan lapan gol dan empat bantuan gol dalam HNL setakat ini.
Ini memperlihatkan Mamut kembali berada pada prestasi terbaik selepas hampir semusim tidak beraksi akibat kecederaan serius.
Sekiranya Varazdin kekal konsisten menghambat kelompok tiga pasukan teratas HNL, pasukan itu berpeluang layak ke Eropah.
Ini juara liga berpeluang mara ke pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara UEFA (UCL). Pemenang tempat kedua dan tempat ketiga pula akan layak ke pusingan kedua kelayakan Liga Konferens UEFA (UECL).
Nama Mamut sebelum ini menjadi bualan peminat bola sepak Malaysia kerana menerima gaji lebih RM80,000 ketika bersama Peteh.