Maklumat mengenai struktur gaji yang diterima bekas penyerang Terengganu, Ivan Mamut, kembali menjadi perhatian dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Nama Ivan Mamut kembali diperkatakan setelah Terengganu sekali lagi tersenarai dalam sekatan perpindahan FIFA pada 9 Februari lalu, dengan kes tersebut dipercayai memiliki kaitan dengan tuntutan yang difailkan oleh Mamut terhadap bekas majikannya.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas penemuan satu dokumen keputusan Dispute Resolution Chamber FIFA bertarikh 6 November, yang memperincikan kandungan kontrak serta tuntutan melibatkan kedua-dua pihak.
Menurut dokumen berkenaan, surat tawaran bertarikh 14 November 2022 menetapkan nilai keseluruhan pakej kontrak sekitar RM995,000 bagi musim 2023.
Struktur tersebut merangkumi gaji bulanan RM83,000, elaun rumah sebanyak RM2,000, elaun pengangkutan RM1,000 serta bayaran pendaftaran yang bersamaan sebulan gaji.
Bagaimanapun, dokumen itu turut menyatakan bahawa satu kontrak pekerjaan rasmi yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 menetapkan jumlah RM26,616 kasar sebulan, di samping bayaran tambahan lain seperti yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.
Perbezaan terma pembayaran inilah yang kemudiannya menjadi asas kepada pertikaian yang difailkan kepada FIFA, dengan Mamut menuntut bayaran yang didakwa masih tertunggak berdasarkan perjanjian terdahulu.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak kelab berhubung sekatan perpindahan tersebut mahupun dakwaan tunggakan melibatkan Ivan Mamut. Perkembangan lanjut dijangka bergantung kepada penyelesaian rasmi antara kedua-dua pihak.
Sebagai rekod, Ivan Mamut menyertai Terengganu pada awal musim 2023 dan telah menyumbat 23 gol serta satu bantuan dalam 35 penampilan sebelum mengalami kecederaan yang menjejaskan permainannya.
Jodoh Ivan Mamut dan Terengganu akhirnya berakhir pada 2025 selepas penyerang kelahiran Croatia itu mengambil keputusan untuk kembali ke tanah airnya dan menyertai NK Varazdin.