Bekas penyerang kebangsaan, Izzaq Faris Ramlan berkongsi detik pahit beliau semasa mewakili Malaysia pada 2011.
Pada ketika itu, Izzaq Faris menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) yang bersaing dalam Sukan SEA 2011.
Anak jati Kemaman, Terengganu itu kemudiannya bernasib malang apabila mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) dalam aksi separuh akhir menentang Myanmar.
Kecederaan itu berlaku beberapa minit sebelum wisel penamat ditiup yang menandakan kemaraan Malaysia B-23 ke peringkat akhir.
Detik tersebut masih diingati Izzaq Faris menerusi satu hantaran di TikTok. “Di sinilah detik hitam bermula,” katanya.
Kecederaan itu memaksa Izzaq Faris terpaksa berehat lama. Selain terlepas final Sukan SEA 2011, beliau juga terlepas aksi kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Syria.
Izzaq Faris pernah mewakili T-Team, Harimau Muda A, Terengganu FC, Melaka United, Terengganu City, Melaka United dan Real Chukai.